KEJAYAAN AKAN TERCAPAI DENGAN KERJA KERAS
KANGAR 8 Sept. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa sesuatu kejayaan akan hanya tercapai dengan kerja keras dan niat yang ikhlas dalam satu pasukan.
Titah baginda, melalui semangat muafakat tersebut, sesuatu kerja yang dilaksanakan itu akan menjadi sempurna.
“Insya-Allah kita akan menemui kejayaan ini,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Bengkel Perancangan Strategik Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bagi 2019-2025 di Hotel Seaview Langkawi, Kedah, semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Dalam pada itu, baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs berharap bengkel yang diadakan ini menjadi salah satu medium terbaik untuk menggarap, membentuk, memperbincang serta memuktamadkan beberapa isu dan perkara penting berkaitan perancangan strategik KUIPs.
“Beta juga amat berharap agar semua peserta bengkel dapat membulatkan tekad, memainkan peranan masing-masing dan seterusnya menyatakan komitmen untuk sama-sama berusaha dengan sepenuh jiwa raga bagi membangunkan KUIPs yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke tahap yang terhebat pada masa hadapan,” titah baginda.
Untuk rekod, KUIPs yang ditubuhkan pada 3 Mac 2013 kini mempunyai seramai 597 pelajar dalam 14 program di bawah enam jabatan. – UTUSAN ONLINE
© Utusan Melayu (M) Bhd